Friday 29 August 2014

Khazanah Pulau Pisang

 
Khazanah Pulau Pisang
Oleh Zahari Jaafar

PONTIAN: Daerah ini memiliki perairan menghadap Selat Melaka. Terdapat banyak perkampungan nelayan di persisiran pantainya sekali gus banyak lokasi pancing boleh dikunjungi.

Pulau Pisang adalah sebuah pulau di daerah ini. Terdapat rumah api sebagai panduan untuk kemudahan nelayan dan kaki pancing. Di situ tersedia banyak lubuk untuk dikunjungi. Lubuk itu dihuni ikan bermutu tinggi seperti jenahak, kurau, kerapu, merah dan tebal pipi.

Penulis bersama rakan sempat beberapa kali memancing di sini. Jeti di Pontian Kecil dibina untuk kemudahan pemancing dan nelayan. Perjalanan dari jeti ke Pulau Pisang kira-kira sejam saja. Dalam satu kunjungan ke sini, kami membawa sotong, udang hidup dan cabuk untuk menduga lubuk di sekitar Pulau Pisang. Bot yang selesa untuk lima pemancing bergerak perlahan meninggalkan jeti di Pontian Kecil kira-kira jam 10 pagi.

Kami mengamati Pulau Pisang sebaik saja bot berlegar-legar untuk mencari lubuk pertama. Pulau itu ternyata cukup cantik kerana di kelilingi oleh kawasan batu. Ada juga sedikit kawasan pantai berpasir. Terdapat juga kebun buah-buahan di situ yang selalu dikunjungi penduduk sekitar apabila tiba musim buah.

Umpan udang hidup dan hirisan sotong dicangkuk pada mata kail dan perlahan-lahan diturunkan. Namun arus agak deras menyebabkan suasana menjadi sunyi. Hanya ikan kecil dinaikkan tetapi dilepaskan semula. Menjelang petang, penulis menerima satu sentapan. Kekili segera dikarau. Seekor kerapu pinang kira-kira sekilogram tewas selepas menelan udang hidup. Selepas itu tiada sebarang getuan, mungkin disebabkan arus yang deras.

Waktu malam adalah detik yang ditunggu-tunggu untuk memburu jenahak dan kurau. Hirisan cabuk adalah umpan terbaik memancing ikan ini. Mahmud terlebih dulu menaikkan seekor kurau kira-kira 3 kg. Selang 15 minit, Nasa yang pertama kali memancing di sini mula diuji apa jorannya tunduk ke laut. Tanpa membuang masa perlahan-lahan kekili dikarau. Sekali sekala joran dipam untuk meletihkan mangsa. Tersenyum puas pegawai bank ini apabila seekor kurau hampir 5 kg menjadi miliknya.

Ketika kami asyik menghirup kopi panas, joran penulis pula mengena seekor lagi kurau kira-kira 4 kg. Fizzi juga tidak mahu ketinggalan menewaskan kurau Pontian apabila beliau turut menjinakkan seekor kurau lebih 3 kg.

Malam itu, lapan ekor kurau seberat 2 hingga 5 kg ditewaskan selain kerapu, pari dan selewak.

Ternyata lubuk di daerah ini terutama Pulau Pisang masih dihuni banyak ikan yang sentiasa menunggu pemancing.

Apa yang penting, pemancing harus sabar selain mendapatkan khidmat tekong yang mahir selok belok sekitar Pulau Pisang.




More Fishing Stories:  http://Gofishtalk.com

No comments:

Post a Comment