Friday 29 August 2014

Gerong belang Kuala Pahang

Oleh Zulkarnain Omar
PEKAN: Spesies gerong belang dan pari mampu membawa khabar gembira buat peserta Kategori Pantai pada Karnival GP Joran 2009 di Kuala Pahang, Ahad ini.

Ini berikutan sejak kebelakangan ini dua spesies itu paling banyak didaratkan pemancing yang dikatakan datang untuk menguji gelanggang pantai Kuala Pahang sebelum acara sebenar mulai jam 8 pagi hingga 1 petang, Ahad ini.

Antara yang datang menguji penghuni di situ ialah Azri Abu Bakar bersama Juara Kategori Pantai GP Johor 2009 di Desaru awal bulan lalu, Kapten Mohd Rosdi Abdullah. Hasilnya, dua spesies itu berjaya diseret ke pantai selepas membaham umpan udang hidup.

Azri yang juga pengunjung setia pantai Kuala Pahang setiap hujung minggu bersama rakan dari Kuantan, akan mencuba nasib di situ dan pada masa yang sama sebagai persiapan bagi menghadapi GP Joran, Ahad ini.

“Sasaran kami hanya ikan pari dan tidak menduga sama sekali gerong belang yang selalu bermain di laut lepas boleh sampai ke pantai. Boleh dikatakan ada saja gerong belang ditewaskan dan minggu lalu, dua ekor gerong belang seberat 5 serta 8 kilogram menjadi habuan kami.

“Kalau spesies ini masih mendiami perairan pantai Kuala Pahang, sudah pasti siapa yang berjaya mendaratkannya boleh membawa pulang hadiah lumayan. Begitu juga, 15 ekor pari kami tewaskan ketika memancing seharian di situ, tetapi jangan lupa gunakan umpan hidup kerana ia adalah hidangan istimewa untuk penghuni di pesisir pantai itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, katanya, spesies ebek atau alu-alu juga boleh dipancing di sini.

“Bagi menundukkan pari, saya sarankan supaya peserta gunakan umpan hirisan selayang atau tamban kerana ia amat efektif. Penggunaan tali sulam 40 paun sebagai tali utama dan perambut tangsi 70 paun, bagaimanapun ia belum tentu dapat menahan asakan mangsa.

“Memancing di sini kita perlu rajin menukar umpan atau tali kerana saya sendiri beberapa kali terputus akibat menerima asakan ganas ikan. Memang menyeronokkan,” katanya.

Menceritakan saat cemas beliau apabila menyedari tali di gelendung habis dilarikan sang pari yang enggan menyerah kalah, Azri berkata, beliau terpaksa menggunakan pelbagai helah serta kemahiran yang ada bagi menundukkan mangsa.

“Walaupun sistem tegangan dikunci ketat, namun tidak berupaya menahan pecutan tanpa henti si pari ke tengah laut. Bagaimanapun, akhirnya ikan berkenaan menyerah kalah apabila saya tidak membenarkan ia membenam di lumpur atau pasir.

“Rekod terberat pari yang saya peroleh di Kuala Pahang setakat ini ialah 35 kilogram dan sehingga sekarang ia belum dipecahkan rakan-rakan yang lain. Saya berharap pada GP Joran Ahad ini, ada tangkapan lebih besar dapat didaratkan peserta,” katanya.




More Fishing Stories:  http://Gofishtalk.com

No comments:

Post a Comment