Thursday 24 July 2014

Air bawah tanah

Oleh Melati Mohd Ariff


Bersediakah kita menggunakan air bawah tanah bagi menghadapi kemungkinan berlakunya krisis air?
Krisis air yang melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini mendorong ada pihak yang mencadangkan supaya kerajaan mengguna pakai air bawah tanah.
Bagaimanapun, bagi aktivis alam sekitar khususnya, air bawah tanah bukan alternatif terbaik untuk menangani krisis air.
Presiden, Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof. Dr. Chan Ngai Weng memberitahu, meskipun jika Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah yang mencukupi, ia lebih elok disimpan untuk keperluan masa hadapan.
“Apa yang lebih penting, kita perlu mengambil tindakan yang tepat dalam melindungi serta memulihkan sungai yang membekalkan 97 peratus keperluan air kita.
Lagipun lebih murah untuk mengekstrak air dari permukaan berbanding air bawah tanah," jelasnya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S.Piarapakaran, juga memberi pandangan yang senada dengan menyatakan sebenarnya tiada kekurangan sumber air di Malaysia tetapi hanya ketidakupayaan menguruskan sumber air.
“Ini sebenarnya punca masalah krisis air di negara ini," tegas Piarapakaran.
Memang benar banyak negara bergantung kepada air bawah tanah untuk menyelesaikan kekurangan air di negara mereka.
Menurut Piarapakaran, kebanyakan negara berkenaan, bagaimanapun mempunyai sistem glasier yang mengisi air bawah tanah dengan berkesan. Paras air bawah tanah diisi semula menerusi proses aliran masuk.
Ini bermakna, kehilangan air bawah tanah diisi semula melalui air dari luar.
“Di Malaysia, aliran masuk secara langsung adalah melalui hujan. Dengan penebangan dan penggondolan hutan dara yang teruk, keupayaan untuk mengisi semula berkurangan secara mendadak," jelas beliau.
Piarapakaran, yang berkongsi beberapa impak negatif penggunaan air bawah tanah, merujuk kepada Jakarta dan Bangkok yang mengguna banyak air bawah tanah.
“Tanah tenggelam adalah mimpi ngeri untuk kedua-dua bandar besar itu," katanya.
Kebimbangan ini turut disuarakan Ngai Weng yang memberitahu, kegiatan mengekstrak air bawah tanah yang berleluasa boleh membahayakan bangunan serta struktur lain.
Piarapakaran yang juga seorang jurutera alam sekitar menegaskan bahawa mengekstrak air bawah tanah boleh menyebabkan pergerakan beberapa bahan kimia yang tinggal dorman di dalam air itu dan boleh menyebabkan pencemaran.
“Terdapat banyak kes seperti ini di seluruh dunia. Kita tidak boleh mengambil risiko ini kerana kita mungkin terlewat untuk menghalangnya daripada berlaku," kata Piarapakaran.
Satu lagi masalah yang dikaitkan dengan air bawah tanah ialah penurunan paras air.
Jika keadaan itu berlaku, mereka yang terlibat akan terpaksa menggali lebih dalam untuk mendapatkan bekalan air.
“Memandangkan isian semula air bawah tanah berkait langsung dengan hujan dan jumlah litupan hutan di Malaysia, projek berskala besar akan hanya memberi kesan alam sekitar yang teruk pada jangka masa panjang," katanya.
Piarapakaran turut menekankan paras air bawah tanah yang rendah pada musim panas akan memburukkan masalah jerebu dan kebakaran tanah gambut.
Ini, katanya, kerana kegiatan mengekstrak air bawah tanah di kawasan isian semula di hutan simpan akan meningkatkan risiko kebakaran hutan pada musim kering.
Piarapakaran turut mengaitkan krisis bekalan air dengan kesejahteraan alam sekitar termasuk ekosistem hutan.
Beliau mengambil contoh Bukit Larut di Taiping, Perak. Taiping adalah antara bandar paling banyak menerima hujan di Malaysia tetapi baru-baru ini turut dikenakan catuan air.
“Memang agak janggal keadaan ini. Ramai orang beranggapan memadai hanya menjaga kawasan tadahan air.
“Di dalam hutan semula jadi yang tidak terganggu, hutan itu sendiri mengawal iklim tempatan sehingga 90 peratus," katanya.
Bagaimanapun, apabila hutan digondolkan untuk memberi laluan kepada pembangunan, pembalakan dan aktiviti lain, fungsi itu akan berkurangan dengan drastik.
“Pada tahun 1962, seluas 2,747 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Dara Bukit Larut," Piarapakaran memetik beberapa data yang diperoleh daripada Lembaga Air Perak (LAP).
Menurut beliau, sesetengah kawasan Bukit Larut yang diwartakan dibangunkan untuk tujuan pelancongan.
Di samping itu, terdapat sebuah kilang memproses air mineral di sebelah Empangan Air Kuning.
“Dalam beberapa tahun yang lepas, banyak kawasan di sekitar Bukit Larut dibangunkan dan kesannya dapat dilihat sekarang seperti perubahan aliran air yang menyebabkan tanah runtuh dan hakisan.
“Ini adalah antara sebab mengapa kawasan hutan dara yang digunakan sebagai kawasan tadahan air serta kawasan sekitarnya tidak boleh diusik.
“Aktiviti pembangunan kecil-kecilan pun boleh mengganggu aliran air semula jadi, merosakkan struktur dan fungsi asal kawasan tadahan air," jelas Piarapakaran.
- Bernama

No comments:

Post a Comment