Wednesday 7 May 2014

Resort dalam ladang buah

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

DIKELILINGI suasana kampung yang tenang dan mendamaikan menjadikan D-Paradise sebagai destinasi kunjungan keluarga.


KEUNIKAN Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia tidak boleh dinafikan lagi seiring dengan status negeri itu sebagai salah sebuah negeri pelancongan popular di Malaysia. Pelbagai jenis produk pelancongan yang terdapat di negeri itu menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu merasai percutian berbeza sambil dikelilingi suasana kampung yang tenang dan mendamaikan, D-Paradise Fruits World and Aborginal Native Village mungkin adalah jawapannya.
Pemandangan hijau menjamu mata sebaik kereta yang dipandu memasuki pekarangan Kampung Berisu, Alor Gajah. Mata pasti terpesona melihat keunikan rumah-rumah tradisional Melaka yang menghiasi kiri dan kanan jalan.
Berbeza dengan resort-resort lain di negeri itu, D-Paradise yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu menawarkan konsep percutian dalam ladang buah-buahan.
Dengan keluasan kira-kira 167 hektar, ia menawarkan 800 jenis buah bermusim seperti durian dan rambutan, tidak ketinggalan buah-buahan lain seperti markisa, nangka dan pelbagai jenis limau.
Pengunjung ke resort itu pasti teruja menikmati percutian yang menyeronokkan dengan menyusuri denai sepanjang sembilan kilometer yang dipayungi dengan pokok markisa sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal.
Terdapat dua jenis penginapan yang disediakan di situ, iaitu jenis calet dan kabin. Penginapan calet Kampung House dan CEO Kampung House mempunyai dua bilik yang bercirikan bentuk rumah tradisional Melayu.

PENGINAPAN jenis kabin yang agak unik ditawarkan di Camp David Islands.


Tatkala melangkah kaki ke dalamnya, mata seakan terpaku melihat ukiran yang menghiasi setiap sudut rumah itu.
Setiap calet dilengkapi kemudahan penghawa dingin, televisyen, peti sejuk, air panas serta dua bilik air. Ruang tamunya yang luas dan ringkas nyata memberikan keselesaan maksimum kepada pengunjung khususnya yang mempunyai keluarga yang besar.
Bagi yang mahu suasana yang lebih mewah, calet CEO Kampung House mempunyai kolam renang peribadi membolehkan pengunjung bersantai dan bermandi-manda.
Penginapan kedua-dua ialah jenis kabin dikenali sebagai Camp David Islands. Menariknya, ia dibina di atas sebuah tasik buatan manusia yang dilengkapi dengan empat buah kabin serta mempunyai kemudahan rumah persinggahan.
Di samping itu, ia juga mempunyai kolam renang peribadi dengan jakuzi, bilik karaoke, bilik makan. Untuk menjamu selera terdapat perkhidmatan tukang masak yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa bergantung kepada selera pengunjung.
Selain berpeluang merasai keenakan dan kelazatan ratusan buah yang ditanam di sekelilingnya, pengunjung juga boleh melawat beberapa lokasi menarik yang disediakan.
Antaranya ialah Taman Kaktus, Taman Botani, Taman Periuk Kera serta taman haiwan yang menempatkan rusa, burung kasawari dan arnab.
Turut menjadi tarikan ialah Perkampungan Orang Asli di Sarawak yang jarang dapat dilihat di negara ini. Pengunjung pasti teruja melihat keunikan budaya dan masyarakatnya serta persembahan tradisional yang diadakan setiap hari.
Bagi kaki pancing terdapat kolam ikan yang disediakan khusus bagi tujuan itu. Bagi yang menggemari aktiviti mencabar mengapa tidak meneroka hutan pada waktu malam.

Sumber

No comments:

Post a Comment