Tuesday 11 March 2014

Tasik Chini tumpuan pencinta alam semula jadi


 

PENGUNJUNG berpeluang menerokai keindahan dan  ketenangan Tasik Chini menggunakan bot yang disediakan oleh pihak Tasik Chini  Resort, Pekan.
 
PEKAN 19 Julai - Pahang merupakan salah satu negeri yang kaya dengan  tempat-tempat menarik untuk dilawati termasuk dua tasik semula jadi yang  terbesar di Malaysia.
Selain Tasik Bera, Tasik Chini adalah antara lokasi tumpuan pelancong  terutama bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar.
Tasik yang terkenal dengan mitos Naga Seri Gumum itu mempunyai keluasan hutan  kira-kira 5,000 hektar yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan merentasi  hutan.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh Tasik Chini Resort untuk para  pengunjung terutama aktiviti air melibatkan kayak dan bagi kaki pancing pula,  Tasik Chini merupakan destinasi yang perlu dikunjungi untuk menguji kepakaran  mereka menaikkan pelbagai spesies ikan air tawar di tasik tersebut.

Selain itu, pengunjung boleh melawat taman orkid dan mencuba permainan  paintball sama ada secara individu mahupun berkumpulan selain bersiar-siar  sambil menunggang kuda.
Terdapat beberapa pintu masuk utama untuk sampai ke Tasik Chini iaitu melalui  Muadzam Shah, Kampung Belimbing dan persimpangan Paloh Hinai dengan jarak  perjalanan 60 kilometer dari bandar Pekan dan 100 kilometer dari Kuantan.
Pihak pengurusan Tasik Chini Resort menyediakan bilik penginapan yang selesa  termasuk asrama, bilik biasa, deluxe dan bilik VIP serta tapak perkhemahan.
Bagi penggemar sukan lasak, mereka boleh mencuba pelbagai aktiviti termasuk  abseiling dan flying fox manakala pencinta alam sekitar pula berpeluang  mengelilingi Tasik Chini menggunakan bot yang disediakan.
Pada masa yang sama, Tasik Chini menjadi tarikan pada bulan Jun hingga  September kerana bunga teratai akan menghiasi tasik tersebut.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai pelancongan di Tasik  Chini boleh melayari laman sesawang www.lakechiniresort.com.


Artikel Penuh:  ©  Utusan Melayu (M) Bhd

More News:  www.whazzup-u.com

No comments:

Post a Comment