Friday 29 November 2013

Hutan Amazon makin ternoda



SEORANG lelaki bekerja di sebuah lombong emas haram di hutan hujan Amazon.





HUTAN hujan Amazon di Brazil kini mengalami kemusnahan yang dahsyat. Hanya mereka yang menyaksikan sendiri dapat menggambarkan kemusnahan yang mengancam kehidupan di situ.
Kemusnahan dahsyat di hutan yang dikenali sebagai paru-paru dunia itu menyebabkan lebih banyak gas karbon dioksida dibebaskan ke atmosfera.
Menurut sekumpulan penyelidik yang diketuai Nacho dari Jabatan Ekologi Global di California, satu-satunya jalan untuk melihat sendiri kemusnahan tersebut adalah menerusi hubungan dengan penduduk tempatan.
Nacho telah berjumpa dengan penduduk tempatan iaitu Juan Doblas semasa melawat sebuah empangan hidroelektrik di Sungai Tapajós.
Melalui Doblas, dia diperkenalkan dengan seorang ahli sosiologi, Cirino sebelum dipertemukan pula dengan seorang petani bernama Derivaldo.
Cirino dan Derivaldo meminta nama mereka dirahsiakan kerana bimbang dengan ancaman pihak yang melakukan pembalakan secara haram.
Derivaldo memberitahu, mereka telah ditawarkan oleh pembalak haram itu wang berjumlah $20,000 (RM64,520).
Sekiranya mereka mendedahkan kegiatan haram tersebut kepada pihak berkuasa , Cirino dan Derivaldo mungkin berdepan dengan maut.
Lebih berharga
Derivaldo menyifatkan wang yang diterima itu sememangnya lumayan, namun memikirkan khazanah di hutan berkenaan lebih berharga, dia sanggup mendedahkan maklumat berkaitan perkara itu.
Jelasnya, pembalak tersebut akan membayar ribeirinho (penghuni hutan) sejumlah wang untuk mencari dan menebang pokok. Setelah ditebang dan dipunggah menggunakan lori ke kilang, pokok tersebut akan dijual dan seterusnya dieksport ke luar negara.


MATA gergaji ini dirampas pihak berkuasa di Hutan Hujan Amazon.





Derivaldo turut membawa Nacho menaiki sebuah motosikal melalui Lebuhraya Trans-Amazonian sejauh 20 kilometer sebelum memasuki hutan untuk melihat sendiri lori-lori besar yang dipenuhi balak.
"Pembalakan tersebut telah memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar seperti hakisan tanah dan kebakaran hutan.
"Selain itu, kandungan gas karbon dioksida yang dibebaskan ke atmosfera juga meningkat sehingga 25 peratus setiap tahun," ujarnya.
Walaupun ketika itu hujan lebat, mereka tetap meneruskan pemerhatian tersebut.
Nacho membawa sebuah kamera dan lensa 24 milimeter. Tidak lama kemudian kelihatan dua trak memasuki kawasan hutan berkenaan. Malangnya, ketika asyik mengambil gambar, tayar motosikal mereka terbenam dalam lumpur menyebabkan kamera yang dibawa Nacho jatuh dan rosak.
Derivaldo sebelum itu, sempat mengarahkan Nacho untuk menyembunyikan kamera dari pandangan pemandu lori.
Setelah seharian berada di hutan itu, Derivaldo mencadangkan Nacho pulang ke rumahnya untuk berehat.
Bagaimapun, Nacho masih mahu mencari bahan bukti termasuk merakam lebih banyak gambar
"Mari kita pergi mendapatkan sesuatu. Apa yang saya tahu, pemandu lori hanya bekerja pada waktu malam dan pada siang hari mereka keluar dari kawasan hutan," kata Derivaldo.
Serbuan
Dalam pada itu, rakan pasukan Nacho, Ricardo Moraes dan Ibama telah menyertai satu serbuan bersama pihak berkuasa alam sekitar di hutan tersebut tetapi di lokasi yang berbeza.
Modus operandi serbuan itu mencari pembalak dan pelombong haram yang memusnahkan hutan atas kepentingan masing-masing.
Juan Doblas berkata, "Tiada undang-undang atau pihak berkuasa yang mampu menyelamatkan hutan ini sekiranya tiada perubahan radikal dalam pentadbiran pemerintah di Brazil.


PEMBERIAN geran kepada penduduk setempat mampu menghalangkan kemusnahan hutan di kawasan berkenaan.





Cirino menambah, "Pihak pemerintah perlu menguatkuasakan undang-undang selain menjalankan pemantauan secara berterusan bagi menangani pembalakan hutan secara haram. Selain itu, pemberian hak milik tanah kepada penduduk di kawasan berhampiran hutan juga dapat menangani perkara tersebut. Ia bukan sahaja menjadi ukuran keadilan sosial tetapi dapat menangani kemusnahan yang besar."
Keluasan hutan hujan Amazon merangkumi lebih 50 peratus daripada hutan tropika di dunia. Walaupun hanya 20 peratus daripada hutan itu telah dimusnahkan, ia masih menghasilkan kira-kira satu per lima daripada oksigen di dunia.
Kemusnahan hutan menyebabkan perubahan pada cuaca dunia. Suhu sekitar akan meningkat kerana ketiadaan pelindung yang menghalang pancaran matahari terus ke muka bumi.
Penghasilan gas karbon dioksida secara berlebihan juga menyebabkan pemanasan global dan perubahan iklim.
Fenomena itu dikenali sebagai kesan rumah hijau. Keadaan itu jika tidak dibendung akan mengurangkan jumlah taburan hujan atau mengubah corak hujan sehingga mewujudkan fenomena kemarau.
Justeru, sebelum keadaan tersebut semakin buruk, semua pihak perlu memainkan peranan dengan menyelamatkan hutan-hutan daripada pihak yang rakus.


Artikel Penuh:

No comments:

Post a Comment