Monday 2 September 2013

Syurga pencinta alam

 

Kehidupan haiwan, keindahan tumbuhan semula jadi dapat dirasai di Setiu Wetland

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

DAMAI…pelbagai tumbuhan menghijau tumbuh subur di sepanjang sungai.
PENYU, batik, ulik mayang dan keropok lekor – antara koleksi cukup sinonim dengan negeri di Pantai Timur ini.
Terengganu Darul Iman memang kaya dengan adat budaya, warisan dan sejarah yang menjadi tunjang kepada perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, kerajaan Terengganu aktif mempromosikan negeri ini bagi menyingkap keunikannya di mata dunia.
Tanah Lembap Setiu (Setiu Wetland) antara lokasi yang menjadi tarikan utama di negeri penyu bertelur itu.
Terletak di Kuala Setiu, kira-kira 50 kilometer dari Kuala Terengganu kawasan ini berkeluasan 230 kilometer persegi.
Bagi pencinta alam, Setiu Wetland memang kawasan yang kaya dengan pemandangan alam semula jadi selain keindahan flora dan fauna.
MUDAH…tiram yang dibiarkan hidup secara semula jadi.
Pelbagai spesies burung seperti helang, bangau, raja udang dan tiong mudah dilihat sama ada hinggap di tunggul kayu mati, di sarang atau di dahan pokok.
Pengunjung pastinya terpegun dengan pelbagai spesies, warna dan saiz hidupan liar di Setiu Wetland selain lotong, kera, belacak dan pelbagai spesies ikan.
Spesies tuntung laut (callagur borneoensis) dan tuntung sunqai (batagur baska) yang jarang ditemui turut terdapat di sini malah tanah lembap ini menjadi pusat pemuliharaan tuntung di bawah Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia.
Setiu Wetland dikatakan unik kerana mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubung iaitu antara pantai, laut, lagun, dataran lumpur, muara, sungai, pulau, hutan pantai dan hutan paya bakau.
Malah, pertembungan secara semula jadi antara air tawar dan air masin yang membentuk air payau membolehkan habitat semula jadi seperti tiram hidup di kawasan ini.
Kelihatan sekumpulan kecil nelayan sibuk mengutip kerang, kepah dan lokan di kawasan air cetek malah kegiatan itu antara sumber rezeki utama.
Justeru, kawasan berair seluas 880 hektar itu memberi pelbagai faedah kepada masyarakat setempat serta flora dan fauna yang bergantung hidup dengannya.
Setiausaha, Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu, Putih Dalib @ Intan, berkata Setiu Wetland berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar termasuk mamalia (29), reptilia (28) dan burung (112).
“Industri perikanan dan aktiviti pelancongan berjaya meningkatkan sumber ekonomi setempat menerusi pelbagai program yang diusahakan sendiri penduduk di sekitar Kuala Setiu.
KREATIF…menggunakan lidi pokok kelapa untuk hasilkan bakul.
“Industri memproses makanan laut seperti budu Terengganu selain keropok ikan, ikan bilis dan belacan.
“Aktiviti komersial seperti menternak ikan siakap dan kerapu dilakukan menerusi rakit atau sangkar.
“Seorang pengusaha mempunyai lebih daripada 20 petak rakit namun bergantung kepada kemampuan individu.
“Namun, hanya 60 peratus daripada 1,000 benih anak ikan diternak,” katanya.
Pada masa yang sama, penternakan tiram turut dijalankan sebagai aktiviti sampingan kerana proses menternak tiram secara komersial perlu dilakukan secara teliti dan teratur.
Namun, tiram yang hidup secara semula jadi turut menghasilkan pulangan yang besar kerana mendapat permintaan setempat terutama daripada Terrapuri Heritage Village yang terkenal di Kampung Mangkuk, Penarik.
“Isinya besar, pejal dan lazat, justeru tidak hairanlah ia mendapat permintaan tetap daripada pusat peranginan terbabit yang menyajikan makanan ini sebagai menu utama,” ujarnya lagi.
Setiu Wetland tidak pernah sunyi dengan aktiviti penanaman bakau justeru kumpulan media turut diperkenalkan dengan pokok kayu bakau kurap dan bakau minyak yang masih terpelihara.
Kawasan di bawah kelolaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini sering dijadikan tempat lawatan bagi penyelidik tempatan dan luar negara.
Jurucakap Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd, Wan Masria Wan Mohd, berkata pakej lawatan ke Setiu Wetland membolehkan pelancong mengenali lebih dekat peranan pokok kayu bakau.
Meskipun kawasan paya bakau dipantau agar tidak lagi berlaku sebarang penebangan haram, penduduk Kuala Setiu berharap lebih banyak pihak memandang serius usaha memelihara dan memulihara kawasan penanaman bakau di Setiu Wetland ini.
LAZAT…dimakan segar dengan perahan limau.
 
>>INFO:
> Di bahagian utara dan barat laut Terengganu bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.
> Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman).
> Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu – Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.
> Kemudian dikurangkan kepada enam – Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut.
> Bermula 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu dibentuk dan menjadi daerah ketujuh di Terengganu.
> Jarak Setiu Wetland dari Kuala Terengganu (50km), Kota Bharu (100km) dan Kuala Lumpur (490km) melalu Lebuh Raya Pantai Timur.


Sumber

No comments:

Post a Comment