Sunday 22 September 2013

Selalu tukar umpan mampu gamit ikan

 

Oleh Nuri Angkasa

Pak Jantan dan Pak Dolmat sependapat bahawa jika dalam air melebihi 50 meter dan arus terlalu deras, pemancing dinasihatkan mengguna umpan yang liat. Cara menurunkan umpan ke dasar juga perlu diberi perhatian. Anda tidak boleh serta-merta atau terus menghulurnya ke dasar kerana...
SEORANG tua lelaki yang agak uzur wajahnya selalu berada di warung Pak Jantan yang berdepan dengan Kuala Linggi. Orang tua itu menggemari minuman kopi o keras tidak bergula dan Pak Jantan adalah sahabat baik dengan orang tua itu.

Mereka berdarah pelaut bermula dengan meneroka kawasan pantai di Kuala Linggi lalu menetap kekal di kawasan berkenaan. Penulis yang terpanggil ke warung Pak Jantan dalam perjalanan ke Port Dickson baru-baru ini, sempat singgah lalu berkenalan dengan Pak Dolmat dan sekali gus diajak sama meneguk kopi o tanpa gula.

“Wow! Pahit,” kata penulis ketika meneguk kali pertama dan hampir meludah keluar tetapi dapat bertahan lalu cepat-cepat menelannya.


Pak Jantan dan Pak Dolmat ketawa sambil menepuk bahu penulis.

“Itu permulaan, memang pahit. Tetapi bila dibiasakan, tentunya rasa pahit tak ada lagi,” kata Pak Dolmat sambil menghirup kopinya dengan berselera.

Soal kopi o pahit tidak bergula ditinggalkan seketika kerana tujuan penulis singgah di warung Pak Jantan untuk mendapatkan petua bagaimana cara umpan dapat bertahan lama dalam air laut walaupun keadaan arus terlalu deras.

Pak Jantan dan Pak Dolmat sependapat bahawa jika dalam air melebihi 50 meter dan arus terlalu deras, pemancing dinasihatkan mengguna umpan yang liat seperti isi sotong segar atau isi ikan selayang segar atau ikan hidup.

Cara menurunkan umpan ke dasar juga perlu diberi perhatian. Anda tidak boleh serta-merta atau terus menghulurnya ke dasar kerana cara ini dibimbangkan umpan isi ikan yang tidak segar akan tanggal dari mata kail dengan sendirinya.

Cara paling baik anda perlu menurunkan umpan dengan perlahan dan berhenti seketika dan teruskan semula. Lakukan ini beberapa kali hingga batu ladung mencecah dasar. Seperti biasa apabila mencecah dasar, gulung sedikit tali supaya umpan terampai-ampai.

Kita juga perlu selalu menukar umpan dengan yang baru kerana kadang kala anda tidak sedar bahawa umpan sudah lama hilang dari mata kail dan ini tentunya menghampakan anda untuk mendaratkan ikan.

Petua selalu menukar umpan adalah sesuatu yang terbaik untuk diamalkan dan tentunya dapat menarik minat ikan di dasar. Petua yang sama juga selalu diceritakan oleh pemenang acara GP Joran sejak 10 tahun lalu.


Sumber

No comments:

Post a Comment