Monday 29 July 2013

Sungai Buntu lubuk ikan

 
Sungai Buntu Laluan ke jeti di Sungai Buntu yang masih dipenuhi dengan pokok bakau.
 
PONTIAN - Tidak ramai  mengetahui kawasan tepi laut di Sungai Buntu adalah tarikan kaki pancing kerana lokasinya yang unik diseliputi hutan paya bakau.

Kawasan yang mempunyai sebuah jeti nelayan itu juga  adalah lubuk ikan seperti  sembilang dan belukang  namun tidak diketahui  ramai kerana ketiadaan  lorong pejalan kaki ke kawasan jeti tersebut.

Salah seorang penduduk, Daim Minal, 50, berkata,  kawasan tepi laut Sungai Buntu mempunyai keindahan semula jadi yang cukup menarik  kerana pokok bakau yang banyak selain kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Pulau Kukup.

“Keindahan alam semula jadi di sini masih lagi  belum terusik dan orang ramai  boleh melihat Pulau Kukup  dengan lebih dekat dari jeti  nelayan di sini.

“Tetapi, ramai yang masih belum mengetahuinya, memandangkan tiada laluan pejalan kaki selain tiada papan tanda,” katanya.

Menurutnya, penduduk tempatan terutamanya dari Kampung Sungai Buntu, sering menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat memancing.

Jelasnya, terdapat kira-kira 10 bot nelayan kecil yang  dimiliki penduduk di sini,   diletakkan di jeti tersebut.

“Kawasan di sini amat cantik dan sesuai dibangunkan  sebagai destinasi pelancongan memandangkan Pontian amat dikenali sebagai lokasi pilihan kaki pancing dan mempunyai banyak kawasan hutan bakau,” katanya.

Justeru, dia yang juga Ketua Umno Cawangan Sungai Buntu berharap pihak berkenaan dapat membina laluan pejalan kaki di sini.

Sementara itu, bagi Mohammad Abdul Ghani, 50, berkata, kawasan laut di sepanjang  kawasan Sungai Buntu digemai  kaki pancing.

Menurutnya, penduduk setempat akan mengadakan pertandingan atau Jom Ngedik ketika musim ikan belukang dan sembilang iaitu pada  akhir tahun.

“Dengan adanya laluan pejalan kaki ia memudahkan penduduk untuk ke jeti kerana kini mereka terpaksa melalui jalan yang becak,” katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment