Wednesday 3 July 2013

Kaki pancing kota

 

 By | Reply More
Tanpa menghiraukan suasana malam yang sepi dan ditemani dengungan nyamuk yang lapar mencari mangsa, kaki pancing tetap leka memegang joran untuk kepuasan diri.


“KAKI pancing tetap sabar menunggu joran mereka diragut ikan.”




TATKALA semua orang meluangkan waktu berehat bersama keluarga di rumah selepas seharian bekerja, terdapat segelintir warga kota yang lebih gemar memegang joran dan mengotorkan tangan dengan umpan cacing dan dedak untuk memancing.
Walaupun nampak kotor, tetapi semua itu menjadi lebih berbaloi apabila melihat tali tangsi pada joran tegang kerana dimakan ikan dan tangan mula memainkan peranan melayan renggutan ‘penghuni’ kolam, sungai ataupun tasik.
Itulah gelagat kaki pancing yang tidak pernah bosan menghabiskan masa berjam-jam pada waktu malam di mana-mana lokasi yang sesuai untuk memancing.


“KEHENINGAN malam dan nyanyian cengkerik menjadi peneman kaki pancing. “


Suasana malam yang sepi dan hanya bertemankan ‘nyanyian’ cengkerik dan nyamuk yang berlegar mencari mangsa langsung tidak dipedulikan oleh mereka. Apa yang penting adalah kepuasan yang diperoleh apabila dapat memancing bersama rakan-rakan.
Perkara ini diakui oleh Mokhtar Yaakob, 66, bekas pesara yang datang memancing di Kolam Ikan Joran Terjun yang terletak di Kampung Kemensah, Hulu Klang baru-baru ini.

“ANUAR RAHIMI “



Menurutnya, hobi memancing sudah terlalu sebati dengan dirinya. Daripada zaman muda, bujang hinggalah berkahwin dan mempunyai cucu, dia masih setia melontarkan joran untuk mendapatkan seekor dua ikan.
“Boleh dikatakan, kalau dalam seminggu saya tidak keluar memancing, hidup saya seperti ada kekurangan dan tidak lengkap. Saya memancing pun bukanlah hendak mendapatkan ikan sangat, tetapi sekadar memenuhi hobi yang sudah sebati dalam diri.
“Saya rasa amat seronok bila memancing terutama ketika melontar tali pancing ke dalam kolam atau tasik. Biasanya saya akan memancing selama tiga hingga lima jam. Kalau ada rezeki, banyaklah tangkapan yang diperoleh. Tetapi kalau sebaliknya, saya akan pulang dengan tangan kosong,” kata Mokhtar yang bertuah kerana isterinya begitu memahami hobinya yang suka memancing.

“MOKHTAR YAAKOB”



Berlainan pula dengan Mohd. Firdaus Mohamad yang mengatakan bahawa dia memang suka memancing tetapi tidak pernah makan ikan.
“Memancing ikan satu perkara yang amat saya sukai. Sejak kecil, saya sudah pandai memancing. Namun, ketika berusia enam tahun, saya mula menyedari bahawa saya tidak suka makan ikan. Sejak itu hinggalah ke hari ini, saya tidak pernah makan apa sahaja lauk ikan yang dimasak.
“Selain itu, salah satu sebab saya memancing adalah untuk menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja. Sebab itulah saya tidak mengambil masa yang lama untuk memancing. Cukup satu hingga dua jam, saya akan pulang dengan hasil tangkapan,” kata pemuda berusia 29 tahun itu.
Bagaimanapun, malam tersebut nasib menyebelahi Firdaus yang bekerja di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) apabila dalam masa tidak sampai satu jam memancing, dia berjaya mendapat seekor ikan baung dan dua ekor ikan keli.

ANTARA ikan yang berjaya ditangkap.



Bagi Mohd. Amin Mohd. Hafiz, 25, pula aktiviti memancing dapat menenangkan fikiran di samping menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.
“Berbanding aktiviti lain, memancing bukanlah satu perkara yang susah. Balingkan joran dan kemudian tunggu sehingga ia direntap ikan. Mudah sekali! Cuma, yang pasti memancing memerlukan kesabaran yang tinggi kerana bukan dalam sekelip mata boleh dapat ikan.
“Tidak terkecuali, aktiviti itu juga menyebabkan kita terserempak dengan perkara menakutkan seperti berjumpa hantu dan sebagainya. Bagi saya itu perkara biasa. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Malah, ia menjadikan kita lebih berani apabila berdepan situasi sedemikian,” kata Amin yang sering menyertai pertandingan memancing.
Sementara itu, seorang lagi kaki pancing, Anuar Rahimi, 24, berkata, jika memancing di kolam berbayar, dia akan memperuntukkan masa selama lima hingga enam jam. Tetapi, jika memancing di sungai atau tasik, dia akan berada seharian di tempat itu.
“Justeru, saya biasanya akan memancing pada waktu malam untuk kolam berbayar dan menghabiskan waktu dari pagi hingga petang di lokasi semula jadi seperti di tasik yang terdapat di Bukit Beruntung.
“Seperkara lagi, untuk memancing terdapat banyak petua yang perlu kita ikuti untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. Namun, bukan semua kaki pancing melakukannya. Ia bergantung pada individu itu sendiri,” katanya yang masih berpegang pada petua orang lama.

kredit : kosmo.com.my


Sumber

No comments:

Post a Comment