Monday 29 July 2013

Ford EcoSport: Penjelajah Urban Versatil

 

Ford EcoSport (Goa, India)
 
Jika diperhatikan dengan lebih mendalam populariti segmen kenderaan bandar tidak terhad kepada motosikal atau kereta sahaja bahkan ianya turut merangkumi SUV kecil. Vakum segmen tersebut terjadi apabila Perodua sudah menghentikan model Kembara. Sebelum itu, segmen tersebut didominasi oleh Daihatsu Feroza, Suzuki Vitara dan Jimny. Pada suatu ketika, Vitara dan Feroza begitu popular hingga mempunyai pengikutnya yang tersendiri, begitu juga dengan Jimny yang masih lagi diburu oleh pembeli menyebabkan harganya tidak jatuh-jatuh. Memandu sebuah SUV bandar adalah suatu yang menyeronokkan dengan sifat fizikalnya yang tinggi dan rugged. Entah kenapa kebanyakan pengeluar masih tidak nampak atau sengaja meninggalkan segmen itu. Walau bagaimanapun, ruang kosong yang lama ditinggalkan itu bakal diisi kembali oleh Ford melalui model SUV bandar yang baharu iaitu EcoSport.
 
Ford EcoSport (Goa, India)
 
Sejarah EcoSport bermula apabila ianya pertama kali diperkenalkan di Amerika Selatan pada tahun 2003, yang mana telah membuka segmen baru di sana dengan jualan lebih dari 700,000 unit. Projek tersebut diketuai oleh Pusat Pembangunan Ford di Brazil. Pasukan itu kemudiannya menggunakan keupayaan kejuruteraan dan kepakaran Ford global untuk menghasilkan EcoSport generasi baharu yang diyakini dapat membantu perkembangan Ford di pasaran dunia.
Pada Mac lepas di Bangkok, Thailand, Ford telah melancarkan EcoSport generasi baharu bagi memenuhi minat yang semakin membesar terhadap SUV urban yang praktikal, mampu milik dan menjimatkan. Dibangunkan berdasarkan platform segmen B Ford, EcoSport dilihat sebagai alternatif terbaik untuk kereta kompak dengan SUV itu lebih bersesuaian untuk lima penumpang dan peralatan mereka. EcoSport mengabungkan ciri-ciri versatiliti yang bakal menarik perhatian pelanggan yang mempunyai gaya hidup aktif. Dengan posisi pemanduan yang tinggi, rekabentuk yang rugged dan penggunaan minyak yang ekonomikal menjadikan EcoSport kenderaan yang sesuai untuk kegunaan di bandar dan jalan berbukit. EcoSport mampu untuk mengharungi air 550mm dengan selesa sambil pemandunya dihiburkan dengan sistem multimedia Ford SYNC(R). Jika pemandu dan penumpang ingin menikmati minuman sejuk pula, simpan sahaja enam tin minuman di dalam kotak papan pemuka (glove box) yang mampu menyejukkan minuman.
 
All-New Ford EcoSport
 
Di Bangkok, Ford mempamerkan varian paling mewah iaitu EcoSport Titanium yang didatangkan dengan warna Mars Red, bumbung suria, gril krom dan roda aluminium 16 inci. Sekilas pandang, rekabentuk EcoSport yang menonjol nampak seperti hendak menerkam manakala bonet lebar yang selari dengan garisan badan memberi efek kuasa dinamik di dalam pergerakan. Lampu depan slim yang mengapit gril pula menonjolkan rupa signatur Ford. Tiang B yang dihitamkan pula sedondon dengan cermin sisi yang menampakkan lagi garisan maskular yang dibentuk oleh tingkap dan pintu seterusnya garisan tersebut bersambung dengan bahagian belakang EcoSport. Bagi menampakkan bonet belakang yang ‘bersih’ pembuka pintu diletakkan sekali dengan lampu belakang. Tayar simpanan yang disangkut pada bonet belakang pula adalah identiti SUV lama dan juga untuk tujuan praktikal supaya lebih banyak ruang kargo dapat digunakan dan memudahkan proses mengalihkan barangan berat ke dalam EcoSport dengan rekabentuk bamparnya yang rendah. Pada bahagian dalaman pula, kerusi belakang boleh dilaras untuk lebih keselesaan atau dibaringkan terus untuk lebih ruang kargo. Dengan rebahan tersebut, ruang bonet meningkat kepada 705 liter iaitu saiz yang boleh memuatkan sebuah mesin basuh.
 
Ford EcoSport (Goa, India)
 
Dari segi pemanduan pula, EcoSport didatangkan dengan pelbagai alat bantuan seperti Hill Launch Assist yang dapat digunakan semasa kereta mendaki atau menuruni bukit dengan menahan kereta daripada bergerak selama 2.5 saat untuk memberi kesempatan kepada pemandu mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak. Sterengnya pula menggunakan teknologi electric power-assisted (EPAS) untuk tindak balas yang responsif dan penjimatan minyak. Ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan terdiri daripada dua beg udara depan, beg udara sisi, ABS dan ESP.
Ford EcoSport dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan kuasa 108ps dan tork 138 Nm. Enjin itu menggunakan teknologi Ti-VCT yang memberi kuasa pada kelajuan enjin rendah selain daripada penggunaan minyak yang ekonomikal. Bergantung kepada pasaran, terdapat dua jenis transmisi yang boleh dipadankan iaitu enam kelajuan automatik Ford PowerShift atau pun transmisi lima kelajuan manual.
 
Ford EcoSport (Goa, India)
 
Ford EcoSport akan dibina di kilang canggih dan baharu Ford iaitu di Rayong, Thailand yang merupakan pengkalan eksport ke negara Asean dan beberapa pasaran lain. SUV tersebut bakal dipasarkan di lebih 100 pasaran dunia dan mungkin juga termasuk negara kita. Baru-baru ini ada kedengaran Suzuki akan membawa masuk kembali Jimny dan jika itu benar maka baru ada dua produk di dalam pasaran SUV bandar. Jika kena harga dan promosi segmen itu merupakan lubuk emas namun masalah dengan Ford ialah produknya yang banyak menerima saingan daripada pengeluar Jepun dan Korea Selatan tambahan pula syarikat itu berasal dari Amerika Syarikat yang selalu menjadi sasaran boikot rakyat negara kita. Walaupun begitu, dua produk Ford iaitu Fiesta mendapat sambutan hangat manakala waktu menunggu pikap Ranger pula berbulan-bulan lamanya!
Ford Media
@muhd_gt


Sumber

No comments:

Post a Comment