Thursday 16 May 2013

Potensi Sungai Keniam, Taman Negara Pahang

 
Ditulis oleh : lkarim   
Isnin, 08 Mac 2010 15:16
 
Sungai Keniam adalah antara anak sungai di dalam Taman Negara yang paling kerap dikunjungi pemancing. Ianya tersenarai sebagai salah satu sungai paling popular bagi aktiviti memancing terutamanya bagi spesis ikan air tawar Kelah (Tor-Tamborides).  Berbanding dengan sungai-sungai lain seperti Sungai Tahan (sentuary kelah), Sungai Keniam menjadi pilihan kebanyakan pemancing kerana kos memancing di sini lebih berpatutan berbanding Sungai Tahan. Kos memancing di Sungai Tahan bolehlah dianggap agak tinggi dan mungkin hanya termampu oleh sebilangan kecil pemancing sahaja. Sungai-sungai lain di sekitar Taman Negara adalah seperti Sungai Atok (Tok) yang berada di bahagian hilir Kuala Tahan dan dilarang untuk aktiviti memancing, begitu juga halnya dengan Sungai Terengan yang berjiran dengan Sungai Keniam. Sungai Pengau yang terletak di Kampung Pagi pula telah secara sukarela dijadikan Sentuary Kelah dan dikawal oleh penduduk kampung dari sebarang aktiviti penangkapan ikan. Sementara Sungai Sat sudah kurang ikannya kerana terlalu terbuka untuk aktiviti penangkapan secara berterusan. Nun jauh di hulu Sungai Tembeling, terdapatnya Sungai Sepia. Perjalanan untuksampai ke-Sungai Sepia memakan masa yang panjang dan biaya yang tinggi, sekitar RM1,000 seorang.


jeti kuala tahan jeti kuala tahan kuala keniam
Berakit buluh di Sungai Keniam, Jeti Kuala Tahan awal pagi dan wajah Kuala Keniam 25km dari Kuala Tahan yang kelihatan tersorok.


Sungai Keniam atau juga biasa di eja sebagai Kenyam jika kita membaca artikel dari penulis-penulis dalam bahasa Inggeris adalah sungai yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Pahang. Muara atau kuala Sungai Keniam terletak kira-kira 25km atau 2 jam perjalanan dari jeti Taman Negara Kuala Tahan sekiranya mudik melalui laluan sungai (Sungai Tembeling). Memasuki Taman Negara Pahang memerlukan pengunjung mendapatkan kebenaran dari Jabatan Perhilitan. Permit memasuki Taman Negara, Lesen Memancing dan Permit Menangkap Gambar boleh diperolehi dengan harga yang amat murah. Melihat semula artikel-artikel memancing sekitar tahun 90an seperti majalah Rod & Line, Sungai Keniam dan sungai-sungai sekitarnya amat mewah dengan Kelah dan Tengas. Dan walaupun tidak sehebat masa lampaunya, Keniam masih lagi boleh dianggap padang pancing dengan kelasnya yang tersendiri.


peta sungai keniampermit memasuki Taman Negara Lesen Memancing
Peta Sungai Keniam dan lubuk, Permit Masuk Taman Negara Pahang dan Lesen Memancing di dalam kawasan Taman Negara


Memancing Kelah Sungai Keniam

Ikan Kelah (Tor-Tamborides) adalah sasaran utama pemancing di Sungai Keniam. Ikan-ikan lain termasuklah Tengas, Sebarau,Baung dan Terbul. Mengikut cerita pemandu pancing, saiz Kelah Merah di Sungai Keniam boleh mencecah sehingga 6kg. Namun saiz yang selalunya berjaya dipikat semenjak kebelakang ini adalah sekitar 2kg ke-bawah.

Topografi Aliran Sungai Keniam dan Lubuk

Aliran Sungai Keniam antara Kuala Sungai Keniam hingga ke Kuala Keniam Kecil mengikut ukuran google-earth adalah melebihi 18km. Sungai keniam tidak begitu condong dan kebanyakan halangan hanya merupakan lata atau cegar. Kebanyakan lubuk bermula dari Kuala Keniam merupakan lubuk-lubuk yang panjang dan berarus perlahan. Antara lubuk di bahagian awal sungai adalah seperti Lubuk Cangkung yang berada hampir dengan penempatan orang Asli suku Batek, lubuk Petai dan lubuk Perkai. Lubuk Perkai terletak lebih kurang 4km dari Kuala Keniam. Sedikit kehulu dari lubuk ini adalah pertemuan antara Sungai Keniam dengan Sungai Perkai (Kuala Perkai). Kuala Perkai merupakan kawasan perkhemahan yang boleh dikunjungi melalui jalan darat. Kita boleh sampai ke Kuala Perkai jika sanggup merentas hutan (jungle trekking) sejauh 28km dari Kuala Tahan. Tidak jauh dari Kuala Perkai terdapat sebuah lubuk yang sederhana besar iaitu Lubuk Ipoh. Untuk jarak yang agak jauh dari lubuk-lubuk yang disebutkan terdahulu adalah Lubuk Rincing yang terkenal sebagai lubuk yang sering menaikkan kelah yang bersaiz kasar. Di ikuti pula oleh Lubuk Rawa. Lubuk Rawa adalah lubuk favorite yang sering menjadi spot pilihan pemancing-pemancing satu ketika dulu. Lebih kurang 18km dari Kuala Keniam adalah Lata Said (Sa'id). Lata Said merupakan hentian terakhir untuk berkhemah yang dibenarkan oleh Perhilitan. Ke-atas dari Lata Said adalah kuala sungai Keniam Kecil dan terdapat 2 lubuk yang sering disebut-sebut iaitu Lubuk Panjang dan Lubuk 5 minit.


Meranduk cegar Lubuk Perkai Mudik bersampanLubuk Ipoh Lubuk Ipoh
Pemandangan cegar dan lubuk yang terdapat di sepanjang Sungai Keniam, hampir semuanya dipayungi pepohon berusia ratusan tahun.


Umpan dan Persembahan

Ikan-ikan di Sungai Keniam terutamanya Kelah agak sudah terlalu biasa dipancing. Ini menjadikan ikan-ikan ini lebih peka terhadap peralatan yang digunakan oleh pemancing. Mata pancing saiz 12 atau 14 sudah memadai memandangkan saiz purata ikan Kelah di sini adalah sederhana sahaja. Mata pancing hendaklah dari jenis yang berwarana gelap dan tidak berkilau. Perambut tidak digalakkan untuk digunakan kerana keadaan lubuk yang berselirat dengan bangkar balak. Mata pancing boleh disambungkan teruske main-line dan menggunakan ladung kecil bersaiz 2 (ladung casting siakap) sudah memadai. Ladung dibiarkan bebas atau diselitkan dengan kayu sebagai penyendal boleh aras. Ladung bukan berperanan untuk menetapkan umpan kerana arus di sini tidak deras, ladung kecil ini hanya membantu menengelamkan umpan dari dikutis habis oleh ikan-ikan kecil terutamanya ikan Nyeyuar (Seluang Bada). Ladung bebas akan mengurangkan sangkut kerana kedudukannya yang rapat dengan mata pancing bila dikarau naik akan mengelakkan mata pancing dari tersangkut sebarang halangan. Tali utama hendaklah dari jenis yang berprestasi tinggi dan sukar dilihat di dalam air. Tali pancing seperti Maxima - Chameleon, Daiwa - Crystal Clear, Turtule (rekomen dari Pemandu Pancing) dan yang halimunan adalah lebih baik digunakan disini. Saiz poundage tali adalah di antara 15lb hinggalah 25lb asalkan ianya cukup kuat dan tahan geseran. Umpan dari sawit samaada sawit yang dijemur atau direndam (masam) adalah umpan yang biasa digunakan. Umpan sawit yang dijemur hingga berminyak adalah lebih baik berbanding sawit yang direndam kerana sawit rendam akan lebih cepat habis di kutis anak-anak ikan yang banyak bilangannya. Umpan sawit tanpa biji yang tersemat baik pada mata pancing hendaklah dilontar menghampiri longgokan kayu di dalam lubuk ataupun pada bahagian kepala atau ekor lubuk yang berarus. Biasanya, bahagian lubuk yang dalam, tenang dan terdapat timbunan daun reput kurang memberikan sambaran malah getuan anak-anak ikan juga amatlah kurang. Pemancing juga boleh menggunakan udang air tawar yang terdapat di celah-celah batu sebagai umpam selain daripada cacing tanah dan belalang hijau atau cengkrek.

Ikatan Mata dan Ladung Sawit berminyak
Mata pancing hitam saiz 12 Mustad, ladung saiz 2 dan leader fluorocarbon 25lb


Tangkapan

Ikan Kelah (Tor-Tamborides) adalah sasaran utama pemancing di Sungai Keniam. Ikan-ikan lain termasuklah Tengas, Sebarau,Baung dan Terbul. Selain dari Kelah Merah terdapat juga berbagai-bagai jenis ikan lain di sepanjang Sungai Keniam. Antaranya adalah Toman, Rong, Sia, Lampam, Batu Ulu, Tengalan, Nyeyuar (Seluang Bada), Patung dan ikan-ikan yangbiasanya hidup dipersekitaran sungai hutan sebegini.


Tips: Lubuk yang terdapat biawak adalah tempat yang terbaik untuk dicuba, lagi besar biawak maka lebih besar saiz atau jumlah tangkapan yang boleh diharapkan..... Logiknya ialah: pemangsa hanya akan berada ditempat yang terdapatnya banyak mangsa. Hukum alam untuk survival



tangkapan berharga tangkapan terbul tangkapan 3 ekor kelah kelah merahbaung akar
Antara hasil pancingan: Kelah Merah, Terbul dan Baung Akar


Perkhidmatan Boat dan Pemandu Pancing

Kawasan pelancongan Taman Negara yang bermula dari Kula Tahan adalah dikira sebagai cukup lengkap dan mempunyai perkhidmatan yang baik. Sebut sahaja kemana arah tujuan anda, dan anda akan pasti menemui pemandu pelancong/boat yang diinginkan. Terdapat dua jenis boat yang ditawarkan disini iaitu boat 3 penumpang (boat kecil) dan boat besar. Boat besar biasanya digunakan untuk membawa pelancong melawat spot-spot pelancongan sekitar Kuala Tahan atau ke destinasi yang lebih jauh seperti Kampung Pagi, Kampung Bantal atau Kampung Mat Daling. Boat kecil adalah untuk aktiviti memancing yang lebih menumpukan kepada anak-anak sungai yang kecil dan berjeram. Boat ini biasanya hanya boleh memuatkan 3 orang penumpang dengan 2 orang pemandu pancing. Kos boat bergantung kepada jarak dan tujuan penumpang. Perjalanan ke sesuatu destinasi seperti kekampung-kampung di sepanjang Sungai Tembeling akan dikenakan kos standard untuk satu perjalanan. Sementara bagi tujuan memancing, kos akan termasuk sekali dengan upah pemandu pancing dan bilangan malam berada di sesuatu destinasi. Pemandu Pancing di sini menggunakan kadar upah yang hampir sama. Upah pemandu pancing biasanya hanya melibatkan kerja memandu boat dan tunjuk arah sahaja. Upah tambahan akan dikenakan jika pemancing memerlukan khidmat memasak makanan dari mereka. Potensi menulis Laporan (Iklan) adalah dijangka sangat baik berdasarkan kepada aktiviti pelancongan memancing yang sentiasa sibuk dan dengan terdapatnya begitu ramai pemberi perkhidmatan boat dan pemandu pancing di sini.
Terakhir dikemaskini ( Selasa, 16 Mac 2010 10:58 )
 


Full Article:  Guidepancing



Tentang penulis
Syarikat: nil
Lokasi: kuala lumpur
Bio: Meminati aktiviti memancing terutamanya pancingan air tawar dan sungai liar. Bersedia untuk menulis Laporan (iklan) bagi pihak Pengiklan dengan kadar upah menulis yang berpatutan. Sila email ke alkarim3@yahoo.com atau tel/sms ke 019-2072262
alkarim3@yahoo.com
0192072262
Klik disini untuk melihat Laporan dan Artikel dari Penulis ini.
   

No comments:

Post a Comment