Monday 15 April 2013

Taman Laut aset bernilai

 

 
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di dalam kawasan Taman Laut sambil dijamu dengan pelbagai pemandangan indah dasar lautan.
KEDUDUKAN Malaysia sebagai negara maritim meskipun mengundang situasi sukar untuk mengawal pantai dan sempadan perairan tetapi daripada sudut yang positif, merupakan aset pelancongan yang tidak ternilai.
Bagaimanapun, keistimewaan tersebut bergantung kepada sejauh mana kita menghargainya sebagai satu khazanah alam tidak ternilai atau membiarkannya tercemar akibat aktiviti manusia tanpa kawalan.
Sebab itu, program kesedaran mengenai kepentingan kawasan marin oleh Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bukan sahaja dihargai tetapi juga diberi sokongan khususnya kawasan yang memiliki kepentingan kepada ekosistem hidupan marin dan telah digazetkan sebagai Taman Laut.

Menerusi program kesedaran yang dilaksanakan oleh JTLM, semakin ramai yang menyedari kepentingan kawasan laut digazetkan sebagai Taman Laut.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Tan Sri Joseph Kurup, usaha pemuliharaan Taman Laut tersebut turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
"Sebagai contoh pelaksanaan Ekspedisi Biodiversiti Marin pada tahun lalu yang diusahakan oleh JTLM di bawah NRE, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Tujuan utama ekspedisi tersebut untuk mendapatkan maklumat kepelbagaian biologi dan ekosistem terumbu karang," katanya ketika merasmikan majlis Mesra JTLM bersama media di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas beliau, ekspedisi tersebut bagi memenuhi keperluan negara dalam tuntutan CTI (Coral Triangle Initiative), BOBLME (Bay of Bengal Large Marine) dan CBD (Convention of Biodiversity).
"Hasil kajian tersebut telah membantu JTLM merancang sistem pengurusan yang lebih dinamik dan berteraskan fakta saintifik," katanya.
Dalam pada itu, aktiviti pengawasan sumber biodiversiti marin dijalankan 24 jam oleh JTLM.
Aktiviti pengawasan tersebut adalah bertujuan mencegah pencerobohan dan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985.
JLTM turut dibantu agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM) agar kawasan Taman Laut sentiasa terpelihara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130318/pl_01/Taman-Laut-aset-bernilai#ixzz2QbxAgyCM
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment