Sunday 7 April 2013

Indahnya panorama Tasik Kenyir

 

Tunggul pohon balak yang tenggelam menambah keindahan Tasik Kenyir yang pasti memukau sesiapa jua ke sana.
 
TASIK Kenyir di Kuala Berang, Terengganu memang tidak asing lagi dan sering menjadi sebut-sebutan di bibir pelancong dalam dan luar negara.
Dengan keluasan 209,199 hektar, Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan menjadi pintu masuk ke Taman Negara di Terengganu.
Di Tasik Kenyir, terdapat 340 buah pulau yang pada asalnya adalah tanah tinggi dan bukit bukau yang telah tenggelam dan membentuk pulau di sekitar tasik itu.
Dengan 14 air terjun serta jeram yang unik menjadikan Tasik Kenyir sebagai habitat kepada spesies ikan air tawar dan pelbagai hidupan liar eksotik yang lain.
Selain itu, antara destinasi yang popular ialah Lake Kenyir Resort, Taman Negara Terengganu (LKRTN), yang bertaraf empat bintang.

Baru-baru ini satu program sempena DRB-Hicom Familiarization and Outing Trip 2012 telah dianjurkan oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), DRB-Hicom Bhd. dan Lake Kenyir Resort.
LKRTN bagaikan syurga bagi kaki pancing mempunyai suasana penginapan berasaskan alam semulajadi yang sangat menarik.
Keunikan LKRTN terletak pada seni binanya dengan bahan binaan daripada kayu cengal serta rekaan keseluruhan yang bercirikan budaya masyarakat Terengganu.
Terletak dalam kawasan seluas kira-kira 2.6 hektar, LKRTN menyediakan 148 buah calet yang selesa dan terdapat empat jenis bilik iaitu Superior, Deluxe, Executive dan Kenyir Suite, yang kebanyakannya mengadap tasik.
Turut dianjurkan ialah aktiviti treasure hunt di Pulau Herba, yang jarak perjalanan dari Pangkalan Gawi ke pulau seluas 15.84 hektar ini ialah tujuh kilometer, iaitu kira-kira 15 minit dengan menaiki bot laju.
Pulau Herba mempunyai kira-kira 26,000 pokok herba.
Peserta juga berpeluang berkunjung ke Air Terjun Lasir yang terletak 16 kilometer dari Pangkalan Gawi.
Air Terjun Lasir mempunyai ketinggian kira-kira 166 meter mengambil masa kira-kira 30 hingga 45 minit untuk sampai ke sana dengan menaiki bot laju.
Pelbagai kemudahan seperti tapak perkemahan, jambatan gantung dan laluan pejalan kaki disediakan di kawasan air terjun itu.
Bagi peminat fotografi, Air Terjun Lasir menjanjikan pelbagai landskap serta flora dan fauna yang indah untuk dirakam.
Pada hari ketiga menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Recycle Programme - Reduce, Reuse and Recycle' dengan sebanyak enam tong kitar semula disumbangkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. kepada LKRTN.
Pengurus Besar LKRTN, Ishak Yunus berkata tong berkenaan akan diletakkan di Jeti Pangkalan Gawi dan di sekitar LKRTN bagi meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan mengitar semula bahan buangan.
LKRTN akan menganjurkan aktiviti yang seumpama pada masa hadapan bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan melindungi alam sekitar, katanya kepada Bernama.
Ishak berharap program seumpama akan memberi kesan kepada orang ramai bahawa Tasik Kenyir Lake Resort adalah resort hijau. -BERNAMA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130318/pl_02/Indahnya-panorama-Tasik-Kenyir#ixzz2PpetEi5I
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment