Friday 5 April 2013

BMW HP4 untuk yang mementingkan kuasa

 

KUALA LUMPUR 27 Mac - BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW HP4, motosikal berprestasi tinggi terkini yang menampilkan keupayaan enjin termaju dan teknologi lengkap untuk tahap keselamatan dan pemanduan dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka untuk kereta dan motosikal di dunia, BMW terus menunjukkan kepakaran inovasi dengan memperkenalkan HP4.
"Ia merupakan motosikal berkuasa besar empat silinder yang paling ringan dan dinamik di dunia untuk pasaran Malaysia.
"HP4 yang baru diperkenalkan ini sudah tentu akan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jualan BMW Motorrad pada tahun 2013," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dilengkapi dengan enjin 4-silinder sebaris S1000RR dengan jumlah sesaran 999 cc, BMW HP4 serba baharu menghasilkan kuasa sebanyak 152 kW (193hp) pada13,000 rpm.

Motosikal ini juga berupaya mencapai kelajuan enjin maksimum sehingga lebih 200km/jam dan bacaan tork maksimum sebanyak 112 Nm pada putaran 9,750 rpm.
Pencapaian hebat ini membolehkan motosikal berkuasa tinggi ini untuk memecut 0-100km/j hanya dalam masa 2.9 saat.
BMW HP4 Serba Baharu juga merupakan motosikal BMW pertama yang memperkenalkan fungsi Launch Control serta pengesan wheelie, yang disokong oleh pembantu syif untuk pemecutan yang optimum dan permulaan yang sempurna di litar lumba.
Harga jualan runcit bagi model baharu (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW HP4 ialah RM144,444.00 dan BMW HP4 Competition Package pula berharga RM158,888.00.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20130328/mo_01/BMW-HP4-untuk-yang-mementingkan-kuasa#ixzz2Pfl8idMQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment