Saturday 15 December 2012

Lucornia lubuk 'ikan gergasi'

Oleh RACHEL NINA


SETIAUSAHA Sosial Kelab Pemancing Miri, Aaron Abel Donald menunjukkan antara ikan yang berjaya dinaikkan.

MIRI 31 Mei - Setiap Mei, perairan terumbu karang Lucornia yang terletak 120 batu nautika dari Kuala Miri atau lapan hingga 12 jam perjalanan menggunakan bot menjadi tumpuan kaki pancing bukan sahaja dari negeri ini bahkan pelancong asing khususnya dari China dan Hong Kong.
Pada masa itu, Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri diadakan secara besar-besaran oleh Kelab Pemancing Miri (KPM).
Perairan Lucornia adalah antara kawasan gugusan terumbu karang di utara negeri ini yang kaya dengan pelbagai spesies ikan bersaiz besar, termasuk tuna sirip kuning, ikan layar dan kerapu yang mempunyai berat puluhan kilogram (kg).
Sejak pertandingan memancing laut dalam diadakan pada 2006, perairan itu terus menggamit kaki pancing daripada seluruh dunia.
Malah, perairan Lucornia yang menempatkan gugusan terumbu itu diiktiraf sebagai salah satu perairan yang masih bersih, bebas daripada pencemaran dan sangat kurang diganggu di rantau Asia Tenggara.
Di situlah pemancing tegar mencuba nasib memecahkan rekod peribadi untuk mencari ikan terberat yang bermain di sekitar terumbu di perairan yang mempunyai kedalaman sehingga 200 meter itu.
Kedalaman airnya bukan hanya menjadi tumpuan kerapu atau kertang yang bersaiz mega malah turut menjadi tempat bermain ikan layaran seperti giant trevalley dan escola.
Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata, perairan itu adalah satu-satunya perairan di mana ikan dan hidupan marinnya begitu sihat dan bebas daripada pencemaran.
"Pelbagai spesies ikan di situ juga mempunyai jangka hayat yang panjang dan sempat membesar.
"Ini terbukti apabila peserta memancing mendaratkan ikan puluhan kilogram, bukan seekor tetapi banyak ekor dan bersaiz mega," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri Ke-6 di sini, baru-baru ini.


NELSON Ngu, juara Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri 2012 bangga dengan kerapu gergasi 62 kilogram.

Menurut Ting, keistimewaan perairan Lucornia itu menjadikannya sebagai lubuk premium dan eksklusif untuk pemancing tegar dari seluruh Asia.
"Perairan Lucornia sudah terkenal di Asia dan kita perlu berusaha meletakkan destinasi ini sebagai lokasi memancing yang unggul di peringkat antarabangsa." katanya.
Impian menjadikan Lucornia sebagai destinasi utama aktiviti sukan memancing tidak mustahil jika ada usaha berterusan termasuk kerjasama daripada Kementerian Pelancongan negeri untuk memasarkan pakej memancing.
Apa yang penting ujar Ting, pihak berkaitan perlu menjalin kerjasama yang erat untuk terus mempromosikan acara ini secara besar-besaran.
Namun, hasrat itu bukannya mudah, kerana untuk menyertai pertandingan berkenaan, para peserta terutama dari luar negara perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar tiket penerbangan, penginapan dan juga sewa bot yang mahal.
Sebagai contoh untuk trip lima hari, pemancing perlu berkongsi sewaan bot antara RM12,000 dan RM56,000.
Sementara itu, Pengerusi KPM, Yee Chung Chai berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk menambah kemudahan bot rekreasi yang digunakan untuk membawa pelancong memancing ke kawasan berkenaan.
"Setakat ini, hanya terdapat lima bot dan jumlah itu tidak cukup kerana ramai pelancong China dan Hong Kong ingin memancing di kawasan perairan Lucornia setiap bulan," katanya.
Menurut Chung Chai, walaupun sewa bot itu mahal, namun ia tidak menjadi masalah kepada peminat aktiviti memancing.
"Sudah enam kali kelab ini menganjurkan pertandingan memancing bertaraf antarabangsa di kawasan berkenaan sejak 2006 dan antara masalah utama yang sering dihadapi ialah kekurangan bot untuk membawa peserta.
"Misalnya untuk pertandingan tahun ini, kami masih berdepan kesukaran untuk mencari bot yang boleh disediakan untuk pemancing dari China dan Hong Kong yang ingin menyertai pertandingan berkenaan." katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pancing/20120601/pc_01/Lucornia-lubuk-ikan-gergasi#ixzz2FH4yvbUP
© Utusan Melayu (M) Bhd
More Stories: http://Gofishtalk.com

No comments:

Post a Comment